Skip to main content
Info Kesihatan

COVID-19

By February 20, 2020July 17th, 2023No Comments

Sekarang anda mungkin mula mendengar tentang COVID-19, atau dengan nama penuhnya ‘CORONAVIRUS DISEASE DISCOVERED in 2019’, yang bertanggungjawab terhadap wabak peringkat global (pandemik). Pada asalnya, China merupakan negara pertama yang dijangkiti virus ini. Namun, ia telah merebak ke beberapa buah negara di seluruh dunia. 

Virus ini pada mulanya dikenali sebagai 2019-nCov (2019 novel coronavirus) dan secara tidak formalnya digelar sebagai “Wuhan coronavirus”. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menamakan penyakit ini COVID-19. Hal ini kerana, penyakit ini tidak merujuk kepada kedudukan geografi, haiwan, individu atau sekumpulan masyarakat yang boleh membawa kepada stigma. Mereka mahu supaya nama ini mudah disebut dan mempunyai kaitan dengan penyakit tersebut. Ternyata tugas memberi nama ini bukanlah mudah!

Virus ini telah dinamakan secara rasminya sebagai SARS CoV-2 (Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2), kerana ia secara genetiknya sangat menyerupai SARS coronavirus. SARS coronavirus menyebabkan SARS (Severe Acute Respiratory Syndrome) yang menjadi wabak pada tahun 2002, manakala SARS CoV-2 menyebabkan COVID-19. 

Coronavirus yang beredar dalam kalangan manusia adalah tidak merbahaya. Suku daripada semua penyakit selsema adalah berpunca daripada coronavirus. Akan tetapi, coronavirus yang beredar dalam kalangan haiwan mula bermutasi dan boleh menjangkiti manusia. 

Pada tahun 2002, SARS berpunca daripada coronavirus yang telah berhijrah dari kelawar ke civet (atau lebih dikenali sebagai musang), dan kemudiannya ke manusia.

Pada tahun 2012 pula, MERS (Middle East Respiratory Syndrome) berpunca daripada coronavirus yang telah berhijrah dari kelawar ke unta sejak beberapa dekad yang lalu, beredar dalam kalangan unta untuk seketika, dan kemudiannya menjangkiti manusia. 

COVID-19 juga berkemungkinan besar bermula daripada kelawar yang kemudiannya berpindah ke pangolin (tenggiling). Hal ini kerana, saintis menemui coronavirus dalam pangolin yang 96% genetiknya menyerupai SARS-CoV-2. Sedihnya, tenggiling ini sedang giat didagangkan di seluruh dunia kerana ramai yang percaya bahawa sisiknya boleh digunakan untuk tujuan perubatan. Oleh itu, coronavirus ini mendapat peluang untuk berhijrah dari tenggiling ke manusia. 

Sehingga 11 Februari 2020, WHO telah merekodkan sebanyak 43,103 kes COVID-19 dan 1,018 kematian, dengan kadar kematiannya adalah 2.4%. Majoriti kes dan kematian ini berlaku di China. 

Wabak SARS pada tahun 2002 telah membawa kepada 8,098 kes dan 774 kematian menjadikan kadar kematiannya sebanyak 9.6%. 

Wabak MERS pada tahun 2012 pula membawa kepada 2,494 kes dan 858 kematian dengan kadar kematian sebanyak 34%. 

Akhir sekali, wabak Ebola pada tahun 2014 yang bukan disebabkan oleh coronavirus mencatatkan 28,639 kes dan 11,316 kematian. Kadar kematiannya melonjak sehingga 40%!

Secara mikroskopik, coronavirus adalah single strand RNA virus dengan protein spike pada permukaannya yang kelihatan seperti mahkota di bawah mikroskop. Perkataan “corona” dalam bahasa Latin bermaksud mahkota. Protein spike ini juga membolehkan virus ini untuk menyerang sel pada permukaan saluran pernafasan dan paru-paru manusia. Virus ini kemudiannya memasuki sel dan membuat lebih banyak salinan dirinya supaya ia boleh merebak ke sel-sel di sekitarnya dan terdapat dalam lendiran pernafasan. 

Jangkitan yang ringan ada kalanya menyebabkan segelintir orang tidak menunjukkan sebarang gejala. Kebanyakan orang pula menunjukkan gejala-gejala seperti demam, batuk dan sesak nafas atau masalah yang lebih serius seperti pneumonia (jangkitan paru-paru). Kerosakan paru-paru boleh menyebabkan acute respiratory distress syndrome (ARDS), yang berlaku apabila radang paru-paru ini menyebabkan pengumpulan cecair di dalam dan sekeliling paru-paru. 

Jangkitan yang teruk boleh membawa kepada :-

  1. Septic shock, yang berlaku apabila tekanan darah rendah secara mendadak sehingga organ-organ dalam badan kekurangan oksigen. 
  2. Acute respiratory distress syndrome (ARDS)

ARDS dan shock adalah punca utama kematian bagi individu yang mendapat jangkitan, dan ini kebiasaannya berlaku pada mereka yang berumur 60 tahun keatas, perokok, dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti darah tinggi. 

KAEDAH PENYEBARAN COVID 19

Selain daripada menyebabkan penyakit, coronavirus juga boleh merebak dengan cepat. Kebiasaannya, virus merebak apabila seseorang batuk atau bersin lalu melepaskan titisan kecil yang mengandungi virus. Titisan ini boleh mendarat di mulut, hidung atau mata individu lain lalu memasuki badannya. Virus juga boleh ditemui dalam najis seseorang, dan jarang sekali coronavirus boleh berpindah dari sebuah apartmen ke apartmen dalam bangunan yang sama. Perkara ini boleh dilihat ketika wabak SARS 2002. Pada masa itu, kegagalan sistem paip buangan membenarkan najis yang mengandungi virus merebak dari salur kumbahan sebuah apartmen ke sinki dan tandas apartmen lain dalam bangunan yang sama, lalu menjangkiti penghuni apartmen tersebut. COVID-19 mungkin boleh melakukan perkara yang sama, namun ianya masih dalam kajian. 

Individu yang dijangkiti secara puratanya mengambil masa selama 5 hari untuk menunjukkan gejala. Perkara ini dinamakan sebagai tempoh inkubasi. Namun, tempoh inkubasi ini berbeza untuk setiap individu. Ada kajian mendapati tempoh inkubasi ini boleh bertahan selama 24 hari. Jadi persoalannya ialah bolehkah individu yang tidak mempunyai gejala menyebarkan penyakit ini kerana mereka mempunyai tahap virus yang rendah dalam badan. Dan jika benar mereka boleh menyebarkan penyakit ini, peranan mereka dalam wabak ini adalah sedikit. 

Virus mempunyai nombor reproduktif atau R0 yang merujuk kepada betapa pastasnya ia merebak. Penyebaran dari manusia ke manusia telah berlaku di dalam dan luar negara China. R0=1 bermakna satu individu yang dijangkiti menyebarkannya kepada satu individu lain. R0=2 bermakna satu individu menyebarkannya kepada dua individu lain, dan begitulah seterusnya. Jika R0<1, jangkitan semakin berkurangan. R0=1, jangkitan ini mendatar dan terus merebak. Anggara terkini R0 bagi SARS-CoV-2 ialah antara 2 dan 2.5. Anggaran ini adalah secara purata di mana ada penyebaran penyakit yang rendah dan ada pula penyebaran dasyat pada kadar yang lebih tinggi (superspreaders). Punca sebenar superspreaders adalah tidak jelas, mungkin kerana ia cuma mendekati golongan tua, atau mungkin tubuh secara semula jadinya menerima lebih banyak virus, atau mungkin ada punca lain. 

Ujian real time polymerase chain reaction (rt-PCR) dilakukan untuk memastikan diagnosis ini dan boleh dilakukan di kebanyakan makmal dan hospital. Ujian ini  boleh mengesan biarpun jumlah RNA virus sangat sedikit. 

KAEDAH RAWATAN

Rawatan tertumpu pada rawatan sokongan iaitu memberi cecair, oksigen dan sokongan ventilasi untuk mereka yang tenat. Terdapat juga data awal menunjukkan 3 jenis ubatan yang efektif menentang SARS-CoV-2 di dalam makmal. Ubatan ini ialah:

  • Chloroquine (ubat anti-malaria)
  • Ritonavir (ubat anti-HIV)
  • Remdesivir (ubat anti-virus yang digunakan untuk menentang Ebola)

Remdesivir telah diberikan kepada pesakit COVID-19 yang pertama di Amerika Syarikat pada hari sakitnya yang ke-11, di mana keadaannya semakin tenat ketika itu. Beberapa hari kemudian, keadaannya bertambah baik. Ujian klinikal menggunakan remdesivir secara besar-besaran telah dilakukan di China. 

LANGKAH PENCEGAHAN

Malangnya pada ketika ini belum ada lagi vaksin untuk mencegah COVID-19. Kelihatannya seperti vaksin ini akan ada beberapa bulan lagi. Oleh itu, buat masa sekarang yang terbaik adalah mengelakkan penyebaran manusia bermula dengan pengasingan individu COVID-19. Coronavirus kebiasaannya tidak tersebar di udara pada jarak jauh. Namun, ia boleh bergerak lebih kurang 3 kaki atau 1 meter dari satu individu ke individu lain di dalam titisan kecil air liur yang dihasilkan seseorang ketika batuk atau bersin. Sesetengah strain coronavirus boleh hidup pada permukaan selama sehari. 

Jika anda tinggal di kawasan yang tidak dilanda wabak, anda tidak disarankan untuk memakai penutup mulut dan hidung kerana risiko awam untuk mendapat COVID-19 ini adalah rendah. Anda disarankan untuk:

  • Tidak melakukan perjalanan ke kawasan-kawasan yang dilanda wabak.
  • Menjauhi tempat yang sesak.
  • Menjauhi seseorang yang mempunyai gejala sejauh 6 kaki atau 2 meter. 
  • Mencuci tangan adalah kuncinya dan ia seharusnya dilakukan dengan menggunakan sabun atau sanitizer yang mengandungi alkohol. 
  • Elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut anda. Kawasan ini dikenali sebagai T-zon dan ia adalah laluan utama kemasukan virus ke dalam tubuh. 

Sumber daripada ‘Youtube Osmosis – COVID-19 (Coronavirus Disease 19) – causes, symptoms, diagnosis, treatment, pathology’

Terjemahan oleh Dr Fatin Damia Binti Shuhaimi